Penggeladahan Constantinople Perang_Salib_Keempat

Selepas berjaya menawan Zara, tentera salib bersiap sedia berangkat ke Mesir dengan kapal mereka. Belum pun sempat berangkat, Alexius Comnenus, yang baru diusir dari takhtanya di Constantinople, meminta bantuan dari tentera salib untuk berkuasa kembali. Baginda berjanji membayar wang yang banyak apabila baginda berjaya menjadi maharaja kembali. Baginda juga berjanji untuk kembali ke pangkuan Gereja Katolik.

Tentera salib bersetuju dengan tawaran Alexius. Pada tahun 1203, dengan bantuan tentera Venice, mereka berjaya menawan Constantinople dan meletakkan Alexius IV kembali di atas takhta. Alexius IV bagaimanapun tidak mempunyai wang untuk membayar tentera salib dan Venice seperti yang dijanjikan. Maharaja Byzantine sebelumnya sempat melarikan diri dengan wang yang banyak menyebabkan kantung perbendaharaan negara kering.

Alexius IV tidak disukai rakyat Constantinople kerana hubungan baginda dengan orang Latin yang kebanyakannya juga adalah tentera salib. Apabila Alexius IV cuba untuk menaikkan cukai untuk meningkatkan perbendaharaan negara dan membayar wang kepada tentera salib dan pihak Venice, baginda semakin dibenci oleh rakyat. Akibatnya baginda dan ayahanda baginda dibunuh dan maharaja baru, Alexius V, menaiki takhta. Tentera salib dan Venice mendesak Alexius V menunaikan janji maharaja sebelumnya. Apabila maharaja Byzantine menolak, tentera salib dan Venice menyerang Constantinople sekali lagi.

Pada 12 April 1204, Constantinople jatuh ke tangan tentera salib dan Venice. Tentera salib dan Venice dengan rakus menggelidah kota Constantinople dan mengambil wang, permata dan emas, serta membawa barangan berharga ini ke tempat mereka. Mereka tidak jadi ke Jerusalem dan tidak juga berlawan dengan kerajaan dinasti Ayub.

Dikhabarkan 900,000 wang perak yang dirompak dari Constantinople. Pihak Venice merampas 150,000 yang sepatutnya dibayar kepada mereka dan 50,000 untuk tentera salib. 100,000 pula dibahagi-bahagikan antara tentera salib dan Venice. Baki 500,000 wang perak pula disimpan secara rahsia oleh satria tentera salib.

Empayar Byzantine pula dibahagikan antara pihak Venice dan pemimpin-pemimpin tentera salib. Empayar Latin di Constantinople ditubuhkan, dan Baldwin dari Flanders dimahkotakan sebagai maharaja Empayar Latin.